Al Quran itu adalah firman Allah, firman Allah itu
adalah qalam Allah, qalam Allah itu adalah kata-kata Allah dan manakah yang
dikatakan kata-kata Allah itu?
Kata-kata Allah itu tidak berhuruf dan tidak
bersuara, dan yang kita baca sekarang ini berupa huruf dan bersifat suara, dan
yang kita tatapi di dalam tulisan yang berdakwat dan kertas itu bukan Quran.
Itu kertas yang berupa kertas yang berdakwat. Apakah kata-kata Allah itu berupa
angin suara yang keluar dari halkum?
Apakah Quran (qalam) Allah itu boleh hangus bila
dibakar, boleh basah bila direndam? Apakah qalam Allah itu terzahir hanya
melalui kedua-dua bibir mulut sahaja? Apakah alam ini tidak menzahirkan qalam
Allah?
Kata-kata Allah itu adalah qalam Allah, qalam Allah
itu adalah firman Allah dan firman Allah itu adalah Al Quran, tetapi manakah
sebenar-benarnya Al Quran? Qalam Allah itu tidak bersuara, tidak berupa, tidak
boleh dicetak dan tidak berhuruf. Apabila yang dikatakan Al Quran itu yang
boleh hangus dibakar, yang boleh basah apabila dikencing oleh muda-mudi zaman
sekarang ini, yang boleh dipijak-pijak, maka amatlah hinanya qalam Allah itu di
sisi masyarakat sekarang ini. Apakah Allah tidak boleh jaga qalamNya yang suci,
yang mulia lagi berkat itu sendiri?
Kebesaran
ayat Al Quran yang berupa huruf
Ada satu cerita yang saya dengar dari ayahanda saya,
pada suatu hari, ada seorang anak muda ingin merantau ke negeri orang dan pada
kebiasaannya dahulu, apabila seseorang itu henak merantau ke negeri orang,
selalunya terlebih dulu meminta doa restu dari orang-orang alim atau keramat.
Maka pergilah beliau menghadap seorang alim untuk mendapatkan azimat atau
tangkal. Orang alim itupun menghulurkan sekeping kertas azimat yang sangat
kecil dan nipis dan berpesan kepada pemuda itu supaya jangan sesekali membuka
dan membaca azimat yang diberikan itu.
Lalu, bawalah pemuda itu dengan rasa tanggungjawab
dan harapan yang tinggi agar azimat itu dapat menyelamatkan beliau dari segala rintangan
musuh sebagai pendinding. Sesampainya pemuda itu di kalangan pemuda-pemuda yang
turut merantau, maka berbual-buallah mereka sambil menceritakan bahawa salah
seorang dari mereka diberikan azimat berupa selendang yang panjang yang
bertuliskan ayat-ayat Al Quran yang dililitkan di kepala dan ada yang dililit
dipinggang dan sebagainya.
Semua azimat kawan-kawannya besar-besar dan
panjang-panjang sedangkan azimatnya hanya berupa kertas kecil lagi nipis bahkan
lebih kecil dari ibu jari. Maka timbullah keraguan dan syak-wasangka, dan terbitlah di dalam hatinya untuk membuka dan membaca kertas tersebut. Apa yang
dilihatnya hanyalah sebutir tulisan jawi yang berupa huruf ‘wau’, lalu
dicampakkannya kertas itu dan terbanglah kertas itu bagaikan wau
(layang-layang).
Sebenarnya, cerita ini bagi menggambarkan kepada
kita bahawa Al Quran itu, biarpun berupa sekeping kertas, namun keberkatan,
kebesaran dan kemuliaan Al Quran itu besar terlebih lagi bila kita telah
mengetahui mana sebenar-benarnya Al Quran yang tidak berhuruf dan tidak
bersuara itu.
Tips:
Syariat, tarikat, hakikat dan ma’rifat itu
mesti seiring dan tidak boleh dipisah-pisahkan. Di antara empat ini, ma’rifat
(mengenal Allah) lah yang paling utama dan mesti dimulakan dengan ma’rifat agar
syariat, tarikat dan hakikat itu berada pada landasan dan aturan Allah.
Mengenali Allah itu wajib iaitu rukun iman dahulu barulah rukun islam. Ma’rifat
dahulu dan barulah syariat dan akhirnya ma’rifat itu syariat. Jika tiada
ma’rifat dahulu iaitu tidak mengenal Allah terlebih dahulu, bagaimanakah mahu
bersaksi bahawa tiada tuhan hanya Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Maka,
jika mengenal Allah dan faham ma’rifat akan Allah itu, benar dan mudahlah
syariat itu. Jika syariat sahaja tanpa mengenal Allah, maka bukan ibadahlah namanya,
jadilah riadah kerana tidak dikenal akan Allah itu.
Oleh Tuan Guru Haji Shaari