Tuesday, 3 September 2013

Cari Yang Dekat


Ada dua jalan yang di tempoh orang dalam mencari yang hak;

Pertama
“man ‘arafa nafsahu faqad’arafa rabbahu” Ertinya: Barang siapa mengenal dirinya maka pasti dia akan kenal Tuhannya.

Pada jalan ini, kebiasaannya dilakukan oleh para pencari murni, mereka belum memiliki panduan tentang Tuhan dengan jelas. Dia hanya berfikir dari yang sangat sederhana, iaitu ketika ia melihat sebuah alam tergelar, muncul pemikiran pasti ada yang membuatnya atau ada yang berkuasa di sebalik alam ini, mustahil alam ini ada begitu saja, dan alam merupakan jejak-jejak penciptanya. Dengan demikian, mereka menemui kesimpulan bahawa Tuhan itu ada.

Sebahagian meditator ( ahli sufi ) menggunakan pendekatan ini dalam mencari Tuhan, iaitu tahap mengenal diri dari segi wilayah-wilayah alam pada diri mereka. Misalnya, mengenali hatinya dan suasananya, fikirannya, perasaannya dan lain-lalin sehingga mereka boleh membezakan dari mana ilham itu muncul.

Akan tetapi, penggunaan cara ini seringkali membuat orang mudah tersesat kerana pada tahap-tahap wilayah ini, manusia sering terjebak pada ‘keghaiban’ yang dilihat di dalam perjalanannya yang terkadang membuat hatinya tertarik dan berhenti sampai di sini kerana jika tidak mempunyai niat dan tujuan yang kuat kepada Allah. Di sana, mereka boleh melihat fenomena / keajaiban alam-alam dan mampu melihat dengan kasyaf apa yang tersembunyi pada alam ini dan akhirnya mudah muncul ‘keakuan’ bahawa dirinyalah yang paling hebat. Sekiranya hatinya kuat menuju kepada Allah, pastilah selamat sampai tujuannya.

Teori yang dilakukan ini adalah jalan terbalik kerana dalam pencariannya, ia menyelusuri jejak atau tanda-tanda yang ditinggalkanNya ( melalui ciptaan Tuhan ) ibarat seseorang yang mencari kuda yang hilang dengan mencari kesan tapak kaki kuda tersebut, kemudian suara rengekan kuda  tersebut dan kemudiannya ditemukan kandang kuda dan akhirnya baru menemui wujud kuda yang sebenar.

Hal ini sebenarnya amat menyulitkan para pencari Tuhan kerana terlalu lama di dalam mengidentifikasikan alam-alam yang dilaluinya.

Kedua
“man ‘arafa rabbahu faqad’arafa nafsahu” Ertinya: Barang siapa yang kenal Tuhannya pasti dia akan kenal dirinya.

Pada jalan ini adalah melangkah kepada yang paling dekat dari dirinya iaitu Yang Maha Dekat. Langkah ini yang paling cepat ditempuh jika dibandingkan dari jalan yang pertama tadi.

Pada jalan yang pertama tadi, banyak dipengaruhi oleh para filosofi pada zaman pertengahan. Dalam hal ini, falsafah Yunani, Teologi Kristian dan Hindu telah banyak mempengaruhinya sehingga Al Ghazali pantas mengkritik kaum filosofi dengan menulis kitab tentang tidak setujunya dengan idea falsafah ketika itu iaitu Tahaful Al Falasifah / kerancuan falsafah.

Al Ghazali membantah pemikiran yang dimulai dengan rangkaian berfikir terbalik. Beliau mengajukan gagasan bahawa umat Islam harus memulakan pemikirannya dari sumber pangkal ilmu pengetahuan iaitu Tuhan dan bukannya dimulai dari luar yang tidak boleh dipertanggungjawabkan kebenarannya. Di dalam Islam, keadaan Tuhan serta jalan yang akan ditempuh sudah tertulis di dalam Al Quran agar umat manusia tidak tersesat oleh rekaan-rekaan fikiran yang belum tentu kebenarannya.

Pencarian kita telah ditulis di dalam Al Quran dan Allah menunjukkan jalannya dengan sangat sederhana dan mudah, tidak menunjukkan alam-alam yang mengakibatkan menjadi rancu dan binggung kerana alam-alam itu sangat banyak dan berkemungkinan besar boleh menyesatkan.

Mari kita perhatikan cara Tuhan menunjukkan para hamba yang mencari Tuhannya;
“dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka ( jawablah ) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi ( segala perintahKu ) dan hendaklah mereka itu beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada di dalam kebenaran.” Al Baqarah : 186
“dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” Al Qaaf : 16

Ayat-ayat di atas mengungkapkan keadaan Allah sebagai wujud yang sangat dekat dan kita diajak untuk memahami pernyataan tersebut secara sempurna. Al Quran mengungkapkan jawapan secara dimensi dan dilihat dari perspektif seluruh sisi pandangan manusia sesempurnanya.

Saat pertanyaan itu terlontar, di manakah Allah? Maka Allah menjawab: Aku ini dekat, kemudian jawapan meningkat sampai kepada Aku lebih dekat dari urat leher kalian, atau di mana saja kalian menghadap, di situ wujud wajahKu dan Aku ini maha meliputi segala sesuatu.

Sebenarnya tiada alasan bagi kita jika dalam mencari Tuhan melalui cara terbalik. Di dalam Islam, memulakannya dengan pengenalan kepada Allah terlebih dahulu iaitu dengan zikirullah (  mengingat Allah ), kemudian kita diperintah langsung untuk mendekatiNya kerana Allah sudah sangat dekat dan tak perlulah mencari jauh-jauh. Cukuplah jiwa ini mendekati secara langsung kepada Allah, maka secara automatik akan diperlihatkan / persaksikan kepada kerajaan Tuhan yang amat luas.

Amatlah disarankan agar jalan kedua ini dilalui bagi para pencari Tuhan kerana jika kita kenal dengan penciptaNya, maka kita akan kenal akan diri kita dan alam-alam di bawahnya kerana semuanya itu berada di dalam genggamanNya.

Kesimpulan:
Islam mengajarkan dalam mencari Tuhan, telah diberikan jalan yang termudah dengan dalil, “barang siapa kenal Tuhannya maka dia akan kenal dirinya.”

“barang siapa yang bersungguh-sungguh datang kepada Kami, pasti Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami.” Al Ankabut : 69

“wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menjadikan bagimu furqan ( pembeza ).” Al Anfaal : 29
Ayat-ayat ini membuktikan, di dalam mendekatkan diri kepada Allah, tidak perlu lagi melalui proses pencarian atau menyelusuri jalan-jalan yang ditemukan oleh kaum falsafah atau ahli spiritual di luar Islam kerana mereka harus melalui tahap alam-alam. Islam dalam menemui Tuhannya harus mampu memfanakan alam-alam selain Allah dengan konsep ‘ Laa Ilaha Illallah… Laa Haula Wala Quwwata Illa Billah… Tiada Tuhan selain Allah… Tiada sesuatupun ( termasuk alam-alam ) selain Allah…. Tiada daya dan upaya kecuali Allah… maka berjalan dan melangkahlah kepada Yang Maha Dekat.
Moga Allah membuka hati kita.



No comments: