Thursday, 5 September 2013

Rukun Iman Yang Pertama - Percaya Kepada Allah


Apakah maksud percaya kepada Allah?

Percaya kepada Allah itu biarlah sampai kepada tahap tidak dikeranakan oleh sesuatu kerana, tidak disebabkan oleh sesuatu sebab dan tidak disabitkan dengan sesuatu sabit.
Percaya kepada Allah itu hendaklah tidak dengan beralasan kerana Allah itu adalah Allah, yang nyata Allah, yang ghaib Allah, yang zahir Allah, yang batin Allah, yang awal Allah dan yang akhirpun Allah. Segalanya Allah dan kenapa masih tidak terlihat akan Allah?

Tidak ada ruang untuk wujud (ada), ujud (menjadikan) dan maujud (dijadikan) sifat makhluk. Maknanya tidak ada ruang di antara awal dan akhir itu adanya ditengah-tengah itu wujudnya kita.

Percayalah bahawasanya Allah itu terang yang wajahnya  lebih terang dari cahaya matahari, dekatnya mata putih dan mata hitam itu lebih dekat lagi Allah, nyatanya ibubapa kita, sesungguhnya Allah itu lebih nyata daripadanya. Kenapakah masih tidak terlihat?

Mengenal, melihat, memandang atau menatap wajah Allah itu hendaklah dengan nyata seyata-nyatanya tanpa terselindung oleh sesuatu. Sesungguhnya Allah bukan sesuatu tetapi zahir pada tiap-tiap sesuatu itu.

Allah tidak ada hijab, tidak ada dinding dan tidak ada tabir yang dapat menghalang kita dari menilik, menatap, memandang atau melihatNya sebab yang menjadikan terhijabnya kita dari tertilik akan Allah itu adalah kerana kita masih mengadakan sifat keakuan.

Percaya kepada Allah itu hendaklah sampai sehingga kepada tahap tidak ada dalil kerana segala-galanya itu adalah wujudnya Allah. La maujud bilhaqqi ilallah. Tiada yang lain selain Allah. Allahu Ahad, Alllahu Akbar.


Oleh Tuan guru Haji Shaari

No comments: