Thursday, 5 September 2013

Ma'rifat Syahadah


Kefahaman mengenai penyaksian atau kesaksian semasa bersyahadah dua kalimah syahadah mengikut suluhan Ilmu Ma’rifat

Bagi mereka yang sudah mengenal diri dan mengenal Allah, tidak ada lagi perkara saksi, bersaksi atau menyaksi. Diri kita adalah sifat yang bersifat dengan sifat lebur, binasa dan sifat tidak ada. Apabila segalanya sudah lebur, sudah binasa dan sudah fana, maka apakah lagi yang tersisa atau terbaki pada kita? Setelah semuanya itu binasa dan fana maka siapakah lagi yang akan bersaksi dan menyaksi?

Sebagai makhluk, kita adalah bersifat dengan sifat binasa dan setelah binasa segalanya itu, maka mana adanya lagi kita? Sekiranya telah binasa dan fana segalanya maka siapakah lagi yang akan menyaksi dan bersaksi? Seandainya tidak ada saksi, manakah mungkin untuk menyaksikan kesaksian! Saksi itu roh dan yang bersaksi itu tubuh badan (bibir, mulut) manakala yang menyaksikan kesaksian kita itu adalah Allah s.w.t. setelah roh dan anggota tubuh badan kita selamat dikembalikan ke hadrat Allah (mati sebelum mati), apakah lagi yang Allah hendak tuntut atas kita? Setelah segala jiwa dan raga telah kembali menjadi milik Allah?

Seandainya sifat tubuh badan dan roh kita binasa, ke mana lagi hendak kita hadapkan penyaksian itu? Itulah maknanya bagi mereka yang telah sampai ke tahap ma’rifat, tidak ada lagi yang menjadi saksi, tidak ada lagi yang bersaksi dan menyaksi. Melainkan yang ditilik itu adalah jua yang menilik, yang dilihat itu adalah jua yang melihat, yang dipanggil itu adalah jua yang memanggil dan yang menyembah itu adalah jua yang disembah.

Seumpama sifat garam sudah kembali pulang ke dalam sifat masin, tidak ada lagi sifat garam melainkan segala-galanya masin belaka! Setelah segala-galanya masin, maka hilanglah ketulan garam dan leburlah sifat garam ke dalam masin.

Tiada selainnya hanya Allah. Allahu Ahad, Allahu Akbar.


Oleh Tuan Guru Haji Shaari

5 comments:

nurazam70 said...

Ma'rifat, syariat, tarikat dan hakikat adalah sama. Ma'rifat adalah diertikan dengan mengenal, maka ma'rifatullah adalah mengenal Allah. Awaludin ma'rifatullah bereti awal agama itu mesti mengenal Allah dan cara mengenal Allah itu adalah dengan mengenal diri sendiri.
Di dalam martabat 7, pada martabat Ahadiyah itu adalah martabat wujud Allah yang mutlak, yang tanpa bentuk, tanpa suara, tanpa jirim dan tanpa had iaitu wajibul wujud yang tidak dapat dibayangkan oleh akal. Sesungguhnya Allah itu di dalam alam KEESAAN sendiri yang tidak bergantung kepada makhluk yang lain...

Unknown said...

Ma'rifat, syariat, tarikat dan hakikat itu hanyalah pada nama dan tujuannya bagi kefahaman umum tentang jalan-jalan tahap pengetahuan di mana ma'rifat itu mengenal, syariat itu adat, tarikat itu penghampiran dan hakikat itulah yang nyata.
Di dalam martabat Ahadiyah ini Allah itu Wajibul Wujud dan yang wujud hanyalah Dia. Alam ini dipanggil "laa ta'yin" @ Allah semata / hanya Allah.
Setelah itu maka Allah mewujudkan alam martabat wahdah yang dipanggil dengan nama alam "ta'yin awal" @ Hakikat Muhammadiyah iaitu nyata pertama, cahaya di atas cahaya. Maka di sinilah bermulanya segala zat, sifat, asma' dan af'al Allah bagi menyata atau tajjalinya Allah umpama biji benih yang terkandung di dalamnya segalanya ilmu akar, pucuk, batang, dahan, daun, bunga dan buah. Ingat! biji benih ini hanyalah tamsilan.
Pada martabat Wahdah ini ianya masih tidak bercerai dengan martabat Ahadiyah umpama api dengan panasnya, garam dengan masinnya dan Allah dengan Muhammad (kekasihnya). Sesungguhnya Allah itu "laisa kamislihi syai'un" iaitu tidak serupa dengan yang lain. Martabbat Wahdah ini juga dipanggil Nur Muhammad.

Unknown said...

Di dalam martabat wahdah ini @ Nur Muhammad adalah umpama satu titik yang belum berupa huruf tetapi telah wujud semua ilmu Allah itu jua. Segala penciptaan kejadian bermulanya pada titik ini ke alam seterusnya iaitu alam martabat wahdiyah yang dipanggil "ta'yin sani" @ "a'yan sabitah"
Di sebut a'yan sabitah itu kerana ain-ain ilmu Allah itu masih di dalam KEESAAN Allah tetapi telah tersusun rapi dari titik kepada huruf seperti alif, ba, ta dan seterusnya. Maka di alam inilah terciptanya Kalamullah (kata-kata Allah) yang tidak berbunyi dan bersuara iaitu di alam wahdiayah ini iaitu di dalam ilmu Allah yang Maha Sempurna.
Ketiga-tiga alam di martabat ini iaitu Ahadiyah, Wahdah dan Wahdiayah ini adalah alam kebesaran Allah bersifat dengan sifat salbiah dan belum ada waktu, jarak dan ruang. Qada' dan qadar telah ditentukan di dalam martabat ini umpama biji benih yang belum tumbuh namun semuanya telah tersirat di dalamnya.

solehsoleha said...

Apakah 3 martabat yang telah disebut ini berhubung kait dengan syahadah?

Unknown said...

Kesempurnaan Kalimah Syahadah

Adapun 3 martabat yang telah dinyatakan itu merupakan kaedah @ panduan jalan untuk mengenal Allah s.w.t. Bagi mengucapkan kalimah syahadah itu perlulah mengenal Allah terlebih dahulu iaitu dengan menghadirkan @ menzahirkan wajah Allah ke dalam hati sebagai saksi. Kalimah Tauhid yang berbunyi "la illaha ilallah" yang ertinya pada maqam syariat ialah "tiada Tuhan kecuali Allah". Bagi Kalimah Rasul pula, kenalah mengenal diri iaitu menghadirkan roh untuk bersaksi.

Perlulah difahamkan bahawa tidak sah kesaksian sekiranya kita yang melafaz, kita yang menjadi saksi dan kita yang menjadi hakim! Adalah yang bersaksi itu adalah roh (diri rohani), saksinya Allah sendiri dan yang menyaksikan itu adalah anggota zahir dan makhluk alam seluruhnya. Pokoknya kesempurnaan syahadah itu terletak kepada ilmu mengenal Allah dan Rasulnya terlebih dahulu.

Kesempurnaan kalimah syahadah yang diterangkan ini hanyalah bagi laluan kefahaman kepada maqam syariat dan tarikat (torikah). Bagi mereka yang telah sampai pada maqam ma'rifat pula telah dimaklumkan di dalam tajuk di atas. Allahu Ahad!