Wednesday, 4 September 2013

Maksud Alif, Lam, Mim



Bersyukur kita kepada Allah Ta’ala kerana masih memberi kesempatan untuk sama-sama berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada umat-umat yang mahu berfikir.

Alif
Huruf Alif itu adalah sesuatu yang melambangkan, menerangkan, menggambarkan, merujuk atau kiasan bagi menterjemahkan Allah! Alif itu adalah bangsa, bahasa atau suatu kiasan gambaran bagi Allah!

Kerana Alif itu adalah huruf yang menegak, huruf yang berdiri, huruf yang mula-mula dan yang pertama. Berdiri tegaknya huruf Alif itu adalah seumpama berdiri tegak semasa bersolat dan berdiri tegaknya sembahyang itu seumpama menegakkan Allah! Allah yang pertama, yang mula-mula dan terawal dan huruf Alif itulah gambarannya. Huruf-huruf lain di dalam Al Quran itu pada keseluruhannya tidaklah menegak dan hanya huruf Alif itulah yang berdiri menegak, maka dibangsakan, dilambangkan, ditafsirkan atau dikiaskan kepada Allah dan sesungguhnya Allah itu tidak dapat diserupakan dengan yang lain. Apabila disebut sahaja huruf Alif, maka ia melambangkan kiasan berdiri, dan berdiri dengan sendiri itu adalah pegertian kepada Allah! Oleh itu, makanya Allah s.w.t tekankan supaya di baca huruf Alif, Lam, Mim, pastinya ada hikmah dan rahsia yang besar di sebaliknya dan apakah rahsia di sebalik huruf-huruf itu?

Huruf Alif itu, adalah huruf tauhid! Semasa bacaan tahiyyat di dalam ibadah sembahyang, huluf Alif ada digambarkan melalui cara kita menggerak-gerakkan atau ditegakkan jari telunjuk semasa bacaan kalimah syahadah! Ianya menggambarkan satu keesaan atau ketunggalan (esa) Allah! Huruf Alif menggambarkan angka satu, angka esa, angka tunggal dan angka tauhid, maka siapakah yang dimaksudkan dengan satu, esa dan tunggal? Itu makanya huruf Alif itu diisyaratkan kepada Allah……

Huruf Alif itu diisyaratkan kepada Allah bagi menyatakan, merujuk, menunjuk dan menafsirkan yang satu, yang tunggal, yang permulaan, yang berdiri sendiri, yang lurus dan yang esa itu Allah. Maka dari kiasan huruf Alif itu hendaklah kita bawa kepada diri kita bahawa bermulanya bacaan atau qalam kita itu dengan Allah, bermula melihatnya kita itu dengan Allah, bermula mendengar kita itu dengan Allah, bermula tidur, bangun, hidup dan mati kita itu dengan Allah. Janganlah terlihat kepada selain Allah dan jangan tertilik kepada selain Allah. Setelah kita nyata Allah dalam pandangan serta tilikan, maka ayuhlah kita sama-sama baca Al Quran, sama-sama dirikan solat dengan ingat Allah!

Bermulanya alam dengan huruf Alif, bermula kiamat dengan huruf Alif dan bermula segala yang bermula itu dengan huruf Alif. Setelah kita kenal huruf Alif itu, kenallah kita akan Allah, bermula dengan Allahlah yang membuat seluruh makhluk alam ini!

Bermula dengan huruf Alif (Allah), terjadinya diri kita, tanpa Alif (Allah), diri kita tidak akan terjadi. Setelah terjadinya diri kita, alam dan segala macam 6666 ayat di dalam Al Quran, hendaklah jangan kita tidur, terlena dan terleka dengan bunyi merdu suara yang mengalunkan ayat-ayayt suci! Jangan leka dengan kemerduan suara bacaan kerana disebalik kelunakan suara bacaan Al Quran itu, kita di suruh pandang, lihat dan tilik Allah. Sebutlah apapun hendaklah ditilik Allah disebaliknya kerana Allah bukan sesuatu tetapi nyata pada tiap-tiap sesuatu!

Maka pandanglah, lihatlah, tiliklah Allah pada setiap ayat di dalam Al Quran itu. Baca syurga, baca neraka, sebut malaikat, hari kiamat, soal kubur, siksa kubur, titian sirat dan segala yang tersebut di dalam Al Quran itu adalah qalam Allah dan qalam Allah itu tidak lain dari Allah jua. Maka dari itu hendaklah tidak terhijab Allah dari setiap bacaan itu kerana Allah jualah segala-galanya.

Berkatalah apa yang hendak dikatakan, sesungguhnya Allah di sebalik kata-katamu! Sebutlah apa sahaja yang hendak disebut, sesungguhnya Allah jualah disebalik sebutanmu! Bergeraklah segala apa yang hendak digerakkan, sesungguhnya Allah disebalik gerakan itu!

Demikianlah permulaan segala bacaan Al Quran itu, Allah letakkan huruf Alif, Lam, Mim bagi dimengertikan dan difahamkan bahawa setiap yang dibaca itu adalah Allah dan bagi menunjukkan bahawa di setiap apa yang kita katakan itulah Allah dan itulah AKU! Apa yang kamu sebut itulah AKU! Apa yang kamu buat itulah AKU! Apa yang dikata itulah AKU dan sebutlah apapun 6666 ayat itulah Allah, Allah, Allah……

Lam
Huruf Lam itu bagi membawa maksud ‘la’ (nafi). Lam itu bagi gambaran, tafsiran dan kiasan kepada makna nafi atau menolak. Persoalannya di sini apakah yang hendak dinafikan atau ditolak atau dibuang? Yang hendak ditolak itu ada terkandung di dalam huruf Mim!

Mim
Huruf Mim itu yang memberi pegertian kepada perkataan maujud (yang dijadikan) iaitu maujud Nur Muhammad. Maka huruf Mim itu memberi faham kepada kita bahawa yang hendak dinafikan adalah perkara maujud iaitu perkara yang dijadikan.

Segala yang maujud  hendaklah kita nafikan, biar Allah sahaja yang ujud, wujud dan maujud. Segalanya selain Allah itu hendaklah kita sucikan, bersihkan, buangkan, dinafikan dari i’tiqad iaitu segala yang maujud (bayangan) itu sebenarnya tidak ada dan yang tinggal itu semata-mata tuan yang empunya bayang.

Setelah kita nampak huruf Alif (Allah) dan huruf Lam (nafi) dan huruf Mim (maujud/makhluk/bayang), maka pegertian melalui makna bagi huruf-huruf tersebut membawa erti; “Allah itu tidak ada maujud selainNya”, “La Maujud Bil Haqqi Ilallah” (tidak ada yang maujud selain Allah). Maka dari itu, setelah diketahui bahawa tiada yang maujud selain Allah itu barulah kita mulai bacaan ayat-ayat suci Al Quran 6666 ayat itu dan janganlah tertilik kepada selain Allah dan selain AKU!

La maujud bilhaqqi ilallah, jangan dipandang ujud yang lain selain ujud Allah dan setelah nampak segala-galanya adalah Allah, barulah boleh baca Al Quran, sebutlah, bacalah, katakanlah dan lafazkanlah kerana sesungguhnya apa yang kamu sebut, yang kamu baca, yang kamu kata dan kamu lafaz, itulah AKU dan setelah segala-galanya Allah maka itulah Allah dan itulah qalamNya! Umpama yang menilik itulah yang ditilik.

Ingat Kepada Allah
Ingat kepada Allah itu adalah setelah tidak lagi ingat selain dari Allah. Setelah ingat kepada Allah, barulah dibolehkan untuk kita membaca 6666 ayat-ayat Allah. Bagaimanakah caranya untuk ingat kepada Allah? Barang siapa yang tidak tahu cara-cara untuk ingat kepada Allah, maka tidaklah mereka itu tahu untuk mentafsir Alif, Lam, Mim dan bilamana tidak tahu mentafsir Alif, Lam, Mim, maka tidaklah dikatakan ingat kepada Allah.

Sembahyang, membaca quran, syahadah dan tatkala berpuasa, zakat, haji, umrah, sedekah, zikir, bekerja bahkan sedang tidur hendaklah kita di dalam keadaan ingat kepada Allah! Tanpa ingat kepada Allah ketika sedang bersembahyang dan membaca Al Quran, apakah erti sembahyang dan membaca Quran itu?Bersyukur kita kepada Allah Ta’ala kerana masih diberi kesempatan untuk sama-sama berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada umat-umat yang mahu berfikir.

Oleh Tuan Guru Haji Shaari

No comments: